Updates!!

Sunday, November 07, 2010

Miri | Kerajaan diminta terus bekerjasama untuk merancakkan pelancongan

Posted by Mr K on Sunday, November 07, 2010 0 ulasan

MIRI: Kerajaan negeri diminta memberikan kerjasama berterusan untuk merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi di Miri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, ini termasuk merancakkan promosi dan meningkatkan akses ke destinasi pelancongan di Taman Negara di Gunung Mulu, Niah, Lambir, Taman Marin Sibuti dan Loagan Bunut.
Beliau berkata, kebanyakan lokasi ini mempunyai akses namun ia perlu dinaik taraf untuk memudahkan usaha mempromosi dilaksanakan.
“Kita berharap akses ke Mulu iaitu dari Miri ke Long Kabong di Sungai Kabong dapat dilaksanakan.

“Dari sana pelancong dapat menggunakan bot selama 45 minit untuk sampai ke Mulu,” katanya ketika berucap semasa Majlis Ulang Tahun Ke-10 Persatuan Hunyang Hexiang Zhuang Qigong Miri di Stadium Tertutup Miri malam kelmarin.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Dr Chan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menambah, beliau berharap Kerajaan Negeri mempercepatkan projek pendalaman terusan pelabuhan Kuala Baram
“Setakat ini projek pendalaman terusan Kuala Baram sedalam enam meter tersebut masih dalam peringkat kajian.
“Saya berharap kajian itu dapat disiapkan dalam tempoh beberapa bulan,” katanya.
Beliau berkata pendalaman terusan itu amat penting untuk merancakkan industri pembinaan perkapalan yang mencecah nilai RM70 juta.
“Pendalaman terusan ini penting untuk memudahkan operasi minyak dan gas dengan menubuhkan satu pusat bekalan di Miri.
“Setakat ini, pusat bekalan terdekat ialah di Labuan yang terletak 106 kilometer dari Miri berbanding 10 kilometer di pelabuhan Miri,” katanya.
Pendalaman pelabuhan Miri itu juga diperlukan bagi menampung keperluan sektor perladangan kelapa sawit yang dianggarkan seluas 3,000 ekar di samping cadangan pembinaan Empangan Baram.
Dr Chan turut berharap agar keluasan Curtin University Technology Sarawak (Curtin Sarawak) ditambah bagi menampung kapasiti yang lebih banyak iaitu 10,000 pelajar berbanding sekarang 3,000.

sumber:borneopost


0 Responses so far:

Leave a Reply