Updates!!

Saturday, August 28, 2010

Seludup Gula | Jalan tikus sukarkan pihak berkuasa kesan penyeludupan gula

Posted by Mr K on Saturday, August 28, 2010 0 ulasan

KUCHING: Kes-kes gula bersubsidi yang disorok dan diseludup keluar dari negara ini menerusi negeri Sarawak tidak dapat dikesan disebabkan kewujudan banyak jalan tikus di sepanjang sempadan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi Negeri Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman memberitahu, penyeludup menggunakan laluan-laluan haram ini untuk ‘mengeksport’ gula bersubsidi ke negara jiran yang harganya lebih tinggi.
“Kami percaya jumlah kes sedemikian di Sarawak boleh dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia, cuma bezanya, pihak berkuasa lebih sukar untuk mengesan kegiatan penyeludupan di sini disebabkan oleh kewujudan begitu banyak jalan tikus,” katanya dan menambah, harga tempatan bagi sekilogram gula adalah RM2.10 berbanding RM3.68 sekilogram di seberang sempadan.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Wan Ahmad turut mengumumkan rampasan gula bersubsidi sebanyak 3.6 tan metrik dari sebuah kedai runcit di Kampung Biawak, Lundu oleh pasukan polis baru-baru ini.
Beliau memberitahu, rampasan yang melibatkan 72 guni dengan berat 50 kilogram bagi setiap guni itu merupakan yang terbesar di Sarawak setakat ini, pada tahun ini dan dianggarkan bernilai RM6,500.
Kedai runcit berkenaan, tambahnya, memiliki lesen untuk menyimpan dan menjual hanya 285 kilogram gula bersubsidi sahaja dan hakikat bahawa begitu banyak komoditi terkawal itu telah dijumpai menimbulkan syak wasangka bahawa ia bukan disediakan bagi penduduk setempat tetapi dijual di seberang sempadan.
Pemilik kedai terbabit sekarang berhadapan tuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Wan Ahmad turut memberitahu, 31 daripada 37 kes penyeludupan yang dikesan di pos pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Tebedu pada tahun ini membabitkan penyeludupan gula, yang menyaksikan 979 kilogram gula bersubsidi dirampas bersama 329 kilogram minyak masak bersubsidi.

sumber: BorneoPost


0 Responses so far:

Leave a Reply

Popular Posts