Updates!!

Monday, July 19, 2010

Suspek jual bayi ditahan

Posted by Mr K on Monday, July 19, 2010 0 ulasan

KUCHING: Seorang lagi suspek warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan penjualan bayi ditahan polis di kediamannya di Batu Kawah di sini, malam kelmarin.
Lelaki berusia 40 tahun yang ditahan jam 7 malam, dipercayai suami kepada suspek wanita warga Indonesia yang ditahan malam Isnin lalu, ketika cuba menjual seorang bayi berusia 23 hari kepada anggota polis yang menyamar sebagai suami isteri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Huzir Mohamed, berkata lelaki itu tidak ditahan lebih awal kerana dia tidak menjadi keutamaan, namun siasatan lanjut mendapati dia turut terbabit.
“Sehingga kini kita sudah menahan 16 orang bagi membantu siasatan kes penjualan bayi di negeri ini dengan 14 daripadanya sudah direman bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas mereka dilakukan secara terperinci.

“Suspek lelaki ini dipercayai terbabit secara langsung dengan kegiatan itu berikutan mengenali beberapa suspek lain serta mengetahui isterinya pernah menjaga bayi yang disyaki diseludup,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sehingga kelmarin, lapan bayi dan kanak-kanak berusia antara 23 hari hingga 12 tahun, yang dipercayai berasal dari Kalimantan, Indonesia, berjaya diselamatkan. Setiap bayi itu dipercayai dijual pada harga antara RM8,000 hingga RM10,000.

“Kita masih tidak mengetahui berapa jumlah sebenar yang terbabit dalam kumpulan berkenaan selain jumlah bayi yang diseludup dan berapa pembeli yang sudah membeli anak.
“Kita percaya kegiatan ini dilakukan secara terancang kerana ada antara bayi dan kanak-kanak ini mempunyai dokumen seperti sijil lahir yang sah,” katanya.

Sementara itu, Bukit Aman tidak menolak kemungkinan kejayaan menumpaskan sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak di Sarawak, adalah permulaan kepada pembongkaran lebih banyak sindiket antarabangsa yang beroperasi di Semenanjung didalangi rakyat tempatan dan Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata polis percaya sindiket terbabit sangat besar dan pihaknya sedang giat mengumpulkan maklumat hasil soal siasat suspek yang ditahan
di Sarawak.

“Polis mengambil berat kes ini kerana ia membabitkan jual beli bayi dan kanak-kanak. Kami memerlukan orang ramai dan saksi yang terbabit dalam urus niaga supaya tampil memberi maklumat kepada polis.

“Maklumat itu bukan saja membantu polis menghapuskan sindiket terbabit, malah akan cuba mengembalikan bayi dan kanak-kanak dijual,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Bakri juga tidak menafikan sindiket berkenaan menggunakan laluan air menerusi jalan tikus di sempadan Malaysia-Indonesia bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

sumber: Berita Harian Online


0 Responses so far:

Leave a Reply