Updates!!

Monday, September 12, 2011

Wahab Sedia Pertahan Parlimen Igan Dan Yakin Rakyat Kekal Sokong BN

Posted by Mr K on Monday, September 12, 2011 0 ulasan

DARO (Sarawak), 11 Sept (Bernama) -- Penduduk dalam kawasan Parlimen Igan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mereka tahu hanya parti itu yang mampu memperjuangkan nasib rakyat, kata Anggota Parlimennya Datuk Wahab Dollah.

Beliau berkata pembangunan yang pesat dalam kawasan Igan yang turut berada dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) memberi banyak faedah khasnya dari segi ekonomi kepada penduduk tempatan.



"Perubahan dan pembangunan kita lihat di kawasan Igan yang dapat dihubungkan dengan jalan darat dari bandar Mukah dan juga dari bandar Sibu serta kelebihan kepada Igan juga kerana ia berada dalam kawasan SCORE," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis ramah tamah di Kampung Tian di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 10,000 penduduk setempat.

Katanya untuk membangunkan kawasan delta Sungai Rejang itu bukannya perkara yang mudah namun ia tidak pernah mematahkan semangat kerajaan BN untuk membela dan mengubah nasib kira-kira 50,000 penduduk yang majoritinya adalah Melanau.

Menurutnya lebih banyak peluang khasnya dari segi ekonomi akan dapat dinikmati oleh penduduk setempat apabila kawasan ini kini mempunyai sistem perhubungan darat yang lebih baik.

"Kini penduduk boleh memasarkan hasil produk tempatan terus ke Sibu ataupun Mukah sekaligus dapat meningkatkan lagi pendapatan mereka selain turut memudahkan orang luar datang untuk mendapatkan produk keluaran tempatan terus dari penduduk kampung," katanya sambil menjelaskan majoriti penduduk dalam kawasan Igan merupakan petani dan nelayan.

Dalam pada itu ditanya sama ada beliau sedia untuk mempertahahkan kerusi Igan Wahab berkata terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya beliau bersedia memikul semula tanggungjawab itu kerana yakin rakyat masih lagi memerlukan khidmatnya untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan Igan.

"Saya bersedia untuk berkhidmat sekali lagi dan saya yakin rakyat masih lagi menyokong khidmat saya di sini dan ketika berjumpa Ketua Menteri (Tan Sri Taib) pada majlis ramah tamah di rumah saya baru-baru ini beliau telah mengarahkan saya untuk bergerak di kawasan mendekati masalah rakyat," katanya.

Wahab yang menang tanpa bertanding pada pilihan raya umum lepas berkata dia sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan pilihan raya umum sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


0 Responses so far:

Leave a Reply

Popular Posts